Melaka, AsiaPeristiwa.com - Cadangan pembinaan jambatan penghubung antara Melaka dan Indonesia melalui Pengkalan Balak–Dumai kembali menjadi tumpuan apabila kerajaan negeri memaklumkan projek mega itu kini berada di peringkat kajian awal dan dijangka dibentangkan kepada Majlis Perancang Fizikal Negara Januari depan.
Jambatan itu digambarkan sebagai langkah strategik menjadikan Melaka sebagai ‘pintu gerbang’ baharu menghubungkan Malaysia dan Indonesia.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, seperti dilansir harian sinar.com memaklumkan kerajaan negeri telah memperuntukkan kira-kira RM500,000 kepada syarikat perunding bagi menilai keberkesanan serta keupayaan projek tersebut dalam mengubah landskap ekonomi dan mobiliti antara dua negara.
Kajian berkenaan akan menjadi asas sebelum cadangan dibawa ke peringkat nasional dan seterusnya kepada kerajaan Indonesia.
Menurut beliau, jarak antara Pengkalan Balak dan Dumai dianggarkan sekitar 47.7 kilometer dengan masa perjalanan kira-kira 40 minit, sekali gus menjadikannya laluan paling dekat antara kedua-dua negara.
Kerajaan negeri turut menjangkakan pembinaan jambatan ini mampu membuka peluang pekerjaan baharu, merancakkan sektor perindustrian serta memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala.
Malah, kawasan Masjid Tanah dikenal pasti antara lokasi tumpuan pembangunan susulan cadangan pengambilan kira-kira 5,000 hektar tanah bagi pembangunan kawasan perindustrian baharu.
Kewujudan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi di kawasan berhampiran turut dilihat berpotensi menyokong pertumbuhan ekonomi biru dan logistik serantau.
Namun, di sebalik unjuran manfaat ekonomi yang dikemukakan, cadangan tersebut turut mengundang kritikan dan kebimbangan, khususnya daripada Perikatan Nasional (PN) Melaka.
Ketua Penerangannya, Bakri Jamaluddin berpandangan projek mega berkenaan perlu dinilai secara lebih teliti dan telus sebelum direalisasikan.
PN mempersoalkan keutamaan projek tersebut dalam keadaan Persekutuan dan negeri berdepan kekangan fiskal serta tahap keberhutangan awam yang tinggi.
Menurutnya, dana tersebut boleh dimanfaatkan untuk projek berimpak tinggi dan segera seperti tebatan banjir, naik taraf sekolah dan hospital atau program peningkatan produktiviti perusahaan kecil dan sederhana yang memberi pulangan sosial lebih cepat kepada rakyat.
Selain itu, isu ketelusan turut menjadi antara kebimbangan utama apabila PN menegaskan rakyat berhak mengetahui struktur pembiayaan projek, sama ada melalui dana awam, pinjaman atau kerjasama awam-swasta, serta jangkaan pulangan ekonomi bersih kepada negeri.
Mereka berpendapat pelaburan dalam mengoptimumkan infrastruktur Lapangan Terbang Melaka dan perkhidmatan feri Melaka–Dumai mungkin menawarkan kos lebih rendah, tempoh pelaksanaan lebih singkat serta pulangan lebih cepat kepada komuniti.
Secara keseluruhan, cadangan pembinaan jambatan Melaka–Indonesia berpotensi menjadi pemangkin transformasi ekonomi negeri jika direalisasikan dengan perancangan rapi, tadbir urus baik dan analisis kos manfaat yang telus.
Namun, dalam suasana ekonomi semasa yang mencabar, keutamaan fiskal, kebajikan rakyat serta pulangan sebenar kepada ekonomi tempatan perlu diberi pertimbangan serius.
Rakyat menyokong pembangunan namun berharap projek yang akan dilaksanakan berdaya maju, mampan serta memberi manfaat kepada generasi akan datang.
*Norafiza Jaafar ialah wartawan Sinar Harian Melaka. (APC/RL/FM)
#Wacana Pembangunan Jembatan Dumai-Melaka